Perutusan Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia

Alhamdulillah, syukur ke Hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala kerana dengan Izin-Nya jua Jabatan Kerja Raya Sabah berjaya menganjurkan  Karnival Sukan JKR SeMalaysia Sabah 2019 bermula 22 hingga 24 Februari 2019.

Di samping menyatukan warga jabatan, Karnival Sukan JKR SeMalaysia Sabah 2019 ini juga bertujuan untuk mengeratkan silahturahim serta menyemarakkan semangat perpaduan dan kerjasama di antara kakitangan. Amalan dan gaya hidup yang sihat serta cergas diharap dapat melahirkan kakitangan yang efisyen dalam menjalankan tugas dengan lebih cemerlang dan produktif.

Pada tahun ini kita amat berbesar hati menerima penyertaan sebanyak 29 kontinjen yang terdiri daripada 20 kontingen Jabatan Kerja Raya dan 9 kontinjen Syarikat Konsesi dari seluruh Malaysia. Kemeriahan ini merupakan salah satu usaha ke arah meningkatkan kualiti kesihatan dan tahap persaingan yang sihat di antara peserta di samping dapat mempromosikan Negeri Sabah yang kaya dengan budaya dan etnik serta tempat pelancongan.

Saya yakin kejohanan ini akan membina hubungan kerjasama yang lebih erat dan akrab, semangat bersefahaman yang padu serta ruang persaingan yang sihat ke arah keharmonian dan kesepaduan dalam mempertingkatkan pembangunan sukan dalam jabatan secara berterusan.

Akhir kata, sukacita saya merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada peserta yang mengambil bahagian atas komitmen, kegigihan dan semangat kesukanan. Tidak lupa juga dirakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Ahli Jawatankuasa Karnival Sukan JKR SeMalaysia Sabah 2019 atas segala perancangan dan perlaksanaan serta sokongan padu yang diberikan. Ucapan penghargaan ini juga saya panjangkan kepada semua pihak yang turut menjayakan karnival sukan ini. Selamat maju jaya dalam Karnival Sukan JKR SeMalaysia Sabah 2019.

DATO’ SRI Ir. Dr. ROSLAN BIN MD TAHA