Perutusan Pengarah Kerja Raya Sabah

Syukur kepada Tuhan di atas limpah dan rahmatnya, kita dapat menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan dengan penganjuran Karnival Sukan JKR SeMalaysia 2019. Sukan JKR SeMalaysia merupakan Sukan Dwi Tahunan di mana pada tahun ini, sebanyak 29 kontinjen akan bertanding. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 20 kontingen adalah daripada Jabatan Kerja Raya di setiap negeri manakala 9 kontingen adalah daripada Syarikat Konsesi seluruh Malaysia.

Sepanjang tahun 2018 dan 2019, JKR Sabah telah bertungkus lumus melaksanakan pelbagai aktiviti dan program pengumpulan dana demi menampung kos perbelanjaan bagi menjayakan Karnival Sukan JKR SeMalaysia 2019. Kejayaan yang dicapai adalah hasil daripada komitmen serta semangat jitu pegawai dan kakitangan JKR Sabah. Di samping itu, kejayaan juga tercapai dengan kerjasama dan penglibatan secara langsung daripada MAKSAK, badan-badan NGO di negeri ini serta penyertaan daripada semua kontinjen JKR Negeri dan syarikat konsesi.

Karnival Sukan JKR SeMalaysia 2019 merupakan satu inisiatif yang berbaloi kerana ia dapat meningkatkan lagi usahasama dan persafahaman di kalangan pegawai dan kakitangan agensi-agensi kerajaan dan syarikat-syarikat konsesi. Ia juga boleh meningkatkan prestasi kesihatan peserta ke tahap yang lebih tinggi, memberi pengalaman persaingan secara sihat, mengukuhkan lagi jalinan perpaduan serta memupuk semangat persahabatan di antara negeri-negeri di seluruh Malaysia.

Untuk Karnival Sukan kali ini, terdapat 10 jenis sukan yang akan dipertandingkan iaitu, bola sepak, bola jaring, bola tampar, ping pong, golf, sepak takraw, futsal kategori wanita, badminton, tenpin boling dan boling padang.

Di kesempatan ini, saya bagi pihak seluruh pegawai dan kakitangan JKR Sabah mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Sabah terutamanya Kementerian Kewangan Negeri Sabah dan Kementerian Belia dan Sukan yang banyak membantu dari segi sumbangan dana dan penggunaan kemudahan sukan. Saya juga berterima kasih kepada JKR Trengganu atas perkongsian pengalaman penganjuran Karnival Sukan JKR SeMalaysia yang mereka alami dua tahun yang lalu. Tidak lupa juga kepada Ketua Pengarah JKR Malaysia kerana memberi kepercayaan kepada JKR Sabah untuk menjadi tuan rumah Karnival Sukan JKR SeMalaysia 2019 ini. Ucapan terima kasih juga kepada semua pihak yang banyak membantu dari segi sumbangan dana, sokongan, nasihat dan pengalaman samada secara langsung atau tidak langsung dalam usaha melaksanakan program sukan ini.

Akhir kata, sukacita saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada pihak jawatankuasa penganjur dan semua yang turut sama terlibat dalam menjayakan Karnival Sukan JKR SeMalaysia 2019. Buat semua atlet termasuk kontinjen jemputan dari negeri-negeri seluruh Malaysia yang menyertai, diucapkan “Selamat Berjuang”. Mudah-mudahan Karnival Sukan JKR SeMalaysia 2019 ini akan berjalan dengan lancar dan sempurna serta dapat mencapai objektif dan matlamat yang diharapkan.